KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 3,768 orang setakat jam 12 tengah hari ini, berbanding 3,685 orang yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, peningkatan ketara berlaku di daerah Pitas apabila jumlah mangsa naik kepada 1,653 orang daripada 621 keluarga, berbanding 1,515 orang daripada 593 keluarga pada sebelah pagi.
Bagaimanapun, situasi di Kota Marudu menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa menurun kepada 1,923 orang daripada 778 keluarga, berbanding 1,978 orang daripada 925 keluarga sebelum ini.
Di Paitan, jumlah mangsa kekal 192 orang daripada 75 keluarga, yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Secara keseluruhan, seramai 1,474 keluarga kini berlindung di 18 PPS yang masih beroperasi di tiga daerah terjejas. Banjir yang melanda kawasan terbabit menjejaskan 47 kampung, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan.
Sementara itu, di Sandakan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memutuskan tidak mengisytiharkan bencana di Kampung Sungai Memanjang susulan keadaan banjir yang semakin pulih.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi JPBD Sandakan, Walter Kenson berkata, pemantauan mendapati paras air menunjukkan trend penurunan selain keadaan cuaca yang cerah dan terkawal.
“PPS tidak dibuka dan pusat transit di Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang ditutup berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
