Rumah Dinaiki Air di Tambunan

TAMBUNAN: Hujan lebat berterusan sejak jam 8 malam tadi menyebabkan paras sungai di beberapa kawasan di Tambunan meningkat ke tahap bahaya, sekali gus mengakibatkan laluan utama di Kampung Sunsuron tidak dapat dilalui.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Tambunan menerima aduan orang awam kira-kira jam 10.25 malam memaklumkan Jalan Utama Molout Sunsuron dinaiki air susulan kenaikan mendadak paras sungai.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Tambunan kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan penilaian keadaan.

Hasil tinjauan mendapati paras air sungai berada pada tahap bahaya dan tidak selamat untuk dilalui semua jenis kenderaan. Orang awam yang berada di kawasan berkenaan turut dinasihatkan agar berwaspada.

Pada jam 11.58 malam, anggota turut membuat pemantauan di Kampung Kinabaan. Pemeriksaan mendapati kira-kira 15 rumah terjejas banjir dengan paras air melebihi paras lutut.

Bagaimanapun, keadaan dilaporkan terkawal dan air menunjukkan trend penurunan.

Paras sungai tahap bahaya

Bacaan terkini menunjukkan paras Sungai Molout berada pada 566.21 meter, iaitu pada tahap bahaya. Sungai Pegalan Molout turut merekodkan bacaan sama, menandakan trend air masih berada dalam kategori bahaya.

Beberapa laluan dikenal pasti dinaiki air, antaranya Jalan Kampung Kinabaan, Jalan Utama St Martin dan Jalan Utama Karanaan.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tiada mangsa dipindahkan.

Operasi pemantauan melibatkan seorang pegawai dan empat anggota APM dengan bantuan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Turut membantu, tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama sebuah jentera.

Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang masih hujan.