KOTA KINABALU : Rakyat Sabah digesa supaya terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu-satunya gabungan politik memahami denyut nadi serta kehendak rakyat negeri ini.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas membuktikan pembangkang tidak memiliki keupayaan sebenar.
Katanya, ini untuk menyelesaikan isu-isu asas rakyat Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya iaitu tiga perkara yang sering dijadikan modal politik mereka.
“Sebagai pemimpin nombor dua negara dan memegang portfolio strategik dalam pembangunan luar bandar.
“Seharisnya isu-isu infrastruktur ini mampu ditangani dalam tempoh tiga bulan. Namun kenyataan beliau menunjukkan seolah-olah segalanya masih di tahap retorik,” katanya di sini semalam.
Aksyah turut mempersoalkan janji manis yang sering dilontarkan dalam kempen pembangkang, seolah-olah mereka memiliki “lampu Aladdin” yang mampu menyelesaikan segala masalah serta-merta.
Namun hakikatnya kata beliau, Presiden mereka sendiri memerlukan masa tiga tahun untuk menyelesaikan masalah ini.
“Walhal, banyak projek sedang dalam pelaksanaan dan dijangka selesai dalam tempoh tersebut.
“Rakyat Sabah tidak mudah melupakan sejarah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memerintah hampir tiga dekad, namun gagal menyediakan infrastruktur asas yang baik di negeri itu,” jelas Aksyah.
Menurutnya, kadar pengangguran yang masih tinggi turut membuktikan kelemahan berterusan yang diwarisi GRS.
“Lebih menyedihkan, ketika
Presiden Warisan memegang portfolio luar bandar, banyak projek yang sepatutnya membantu rakyat bertukar menjadi projek gajah putih.
“Malah, tindakan menubuhkan kementerian baru hanya kerana percanggahan politik peribadi jelas menunjukkan keutamaan beliau bukan pada rakyat,” tegasnya.
Aksyah turut menyentuh tindakan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika menjadi Ketua Menteri yang membatalkan sistem PDP Lebuhraya Pan Borneo dan konsesi air, yang menurutnya memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan infrastruktur negeri.
“GRS kini menerajui usaha pemulihan melalui kerangka Sabah Maju Jaya yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembaikan infrastruktur, malah merangka semula hala tuju ekonomi Sabah yang hampir lumpuh,” katanya.