PAPAR : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor membawa khabar gembira kepada penduduk di sini apabila meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta untuk Gereja St Joseph dan dewan serbaguna Kampung Marahang di Limbahau, Papar.
Berucap pada Pesta Kaamatan Papar di Kampung Marahang hari ini, Ketua Menteri berkata beliau meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nautim untuk membina dewan baharu bagi Gereja St Joseph.
Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf infrastruktur di sekitar dewan serbaguna Kampung Marahang.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, beliau bersetuju memperuntukkan sebahagian tanah milik Yayasan Sabah untuk kegunaan rakyat di Kampung Gana dan kawasan sekitarnya.
“Ini adalah Kerajaan untuk semua rakyat Sabah. Kita berlaku adil kepada rakyat Sabah. Kita tidak mencari pujian, tetapi buktinya jelas untuk dilihat oleh semua.
“Kita membawa pembangunan bukan hanya untuk segelintir golongan, sebaliknya kepada semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) agar turun padang dan menyampaikan kepada rakyat di peringkat akar umbi tentang usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
Hajiji berkata, Pesta Kaamatan merupakan platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
