TENOM: Pusat rawatan dialisis perlu diwujudkan di Tenom bagi menampung peningkatan jumlah bilangan pesakit buah pinggang di daerah ini.
Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata, masalah ini menjadi faktor utama berikutan kekerapan aduan serta keluhan diterima dalam kalangan penduduk Tenom berikutan sukar mendapatkan rawatan dialisis.
Katanya, ketika ini mesin rawatan sedia ada di Hospital Tenom tidak dapat menampung jumlah permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan pesakit.
“Kita sudah kenalpasti Tenom serta daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
“Faktor kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan sewajarnya.
“Pesakit buah pinggang terpaksa pergi ke Hospital Keningau atau klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Riduan berkata, kos rawatan tinggi mencecah RM200 untuk satu sesi sahaja menyebabkan pesakit buah pinggang serta keluarga terbeban.
“Lebih membimbangkan apabila mereka tidak meneruskan rawatan akibat kekangan masalah kewangan itu sehingga terpaksa menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia.
“Saya bersedia memberikan kerjasama kepada jabatan serta agensi kerajaan berkaitan dalam membantu mewujudkan sebuah pusat rawatan dialisis di sini,” katanya.
Riduan berkata, beliau menyokong penuh hasrat serta cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) menubuhkan pusat rawatan dialisis di Tenom dalam tempoh terdekat.