Operasi pengemis jalanan babitkan ‘Palauh’ diperluaskan seluruh negeri – James

KOTA KINABALU: Satu operasi bersepadu menyelamatkan 31 orang dikenalpasti sebagai ‘Palauh’ serta pengemis jalanan menjadi tular di media sosial sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Dalam operasi itu, seramai 10 wanita, tiga lelaki dewasa manakala selebihnya 18 kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Sementara itu ketika mengetuai Operasi bersepadu ini, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kesemua mereka ini akan di hantar ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS).

Katanya, pihaknya akan berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenteras pengemis jalanan di seluruh negeri ini.

“Usaha tidak terhad kepada Kota Kinabalu, malah akan diperluaskan ke kawasan yang sudah dikenalpasti membabitkan di seluruh Sabah termasuk kawasan Lahad Datu, Tawau dan Sandakan. 

“Ini adalah usaha memerangi serta menyelamatkan mereka dipergiat di seluruh Sabah sehingga mereka tidak lagi berada di tepi-tepi jalan,”katanya di sini hari ini.

James berkata, ketika ini pihaknya menganggarkan jumlah mereka yang terlibat mungkin mencecah sehingga 300 orang.

“Ketika ini kita akan tempatkan mereka di pusat perlindungan  dan memberi sedikit ilmu pengetahuan untuk melatih mereka.

“Kapasiti PPS untuk tujuan ini setakat ini mampu menampung anggaran bilangan Palauh dan peminta sedekah,” katanya.