6 polis akan didakwa berkait kes bunuh di Tawau

KOTA KINABALU: Tujuh termasuk enam anggota polis akan didakwa di Mahkamah Majistret Tawau petang ini bagi pertuduhan kes pembunuhan seorang pemandu e-panggilan di Tawau, 13 Jan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata polis melengkapkan siasatan kes itu dan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara semalam.

“Semua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seramai lapan anggota polis dan tiga orang awam ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu.

Pada 31 Jan lalu Idris ketika memberitahu perkembangan semasa kes itu dilapor berkata ia bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

Sehari sebelumnya, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, antara 7.30 dan 9 malam, 13 Jan lalu.