KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM28.5 juta dibelanjakan untuk memberi tajaan kepada biasiswa, dermasiswa serta pinjaman kepada 2,823 orang pelajar baharu tahun lalu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau mahu Kumpulan Yayasan Sabah terus memberi fokus terhadap pendidikan sama ada di peringkat perkembangan kanak-kanak sehingga ke pengajian tinggi.
“Saya berharap pelancaran Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pada bulan Jun tahun lalu, ia dapat meringankan bebanan kewangan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membiayai komitmen tersebut.
“Prestasi ini amat membanggakan dan tahniah kepada semua warga Kumpulan Yayasan Sabah yang terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu Hajiji melahirkan perasaan bangga apabila Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan lebih kurang 98 peratus.
“Ini diikuti University College Sabah Foundation (UCSF) sebanyak 75 peratus pada tahun 2022. Banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan bagi membangunkan agenda pendidikan di negeri ini.
“Sebanyak RM57 juta diperuntukkan pada tahun ini disediakan kepada pemberian Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri akan dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk memberi peluang kepada anak Sabah melanjutkan pengajian dan latihan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.