PRU15: Warisan tuntut hak kekal rakyat Sabah dan Sarawak bukan boneka kepada Malaya – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman menyelar Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor kononnya Parti Warisan (Warisan) hanya berminat kepada jawatan Perdana Menteri sekali gus menolak Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa yang Warisan perjuangkan adalah menuntut hak kekal khasnya melibatkan hak serta kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jawatan TPM bukanlah jawatan pemegang kuasa Eksekutif dan hanya bersifat sementara. Jika Perdana Menteri bertukar, dasar berubah sudah tentu tiada jaminan jawatan tanpa kuasa itu kekal kepada Sabah.

Mohd Azis ketika berucap dalam program di Kampung Numbak di sini semalam. Gambar Mohd Hans/SNT.

“Malah jawatan itu hanya akan menjadikan pemimpin Sabah dijadikan boneka dan pak turut kepada sesiapa yang akan jadi Perdana Menteri kelak.

“Jika tidak ikut, maka PM punya kuasa untuk menukar serta memecat Timbalan Perdana Menteri.

“Hajiji dan Bung Moktar perlu sedar selama ini mereka masih sujud kepada Malaya….Tetapi jika mandat itu diberikan kepada Warisan, kami akan tuntut seperti terkandung MA63,” katanya dalam siri ceramah di Kampung Cenderamata Likas malam tadi.

Mohd Azis yang juga Ketua Penerangan Warisan berkata, Hajiji serta Bung Moktar perlu sedar berapa ramai Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecat serta dibuang termasuk Pengerusi Datuk Hajiji sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah dipecat dari jawatan TPM.

“Pada 19 November ini (Sabtu) rakyat perlu menolak puppet (boneka) di Parlimen nanti sekali gus hanya tunduk kepada semua arahan Malaya.

“Presiden WARISAN sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri. Kita tolak tawaran itu,” katanya.

Mohd Azis berkata, apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi MA63 yang dipersetujui sekian lama di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia.