PRU15: ‘Saya bukan kroni Tun Mahathir’ – Shafie Afdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sekali lagi menolak dakwaan pihak tertentu yang menyatakan beliau sebagai kroni Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau agak kecewa apabila sering dikaitkan sebagai kroni Dr. Mahathir.

“Ketika Tun Mahathir datang berkempen di Sabah beberapa hari lalu, beliau mendakwa Parti Warisan (WARISAN) tidak memiliki kemampuan dan kekuatan jika mahu melaksanakan perubahan melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tun Mahathir cakap…..WARISAN tidak mempunyai calon yang cukup selain tetap dianggap parti berasal dari Sabah walaupun berjaya melebarkan sayap ke Semenanjung,” katanya dalam siri kempen di Kampung Gentisan Wak-Wak Sepanggar di sini semalam.

Mohd Shafie berkata, Tun Mahathir yakin WARISAN akan kehilangan beberapa wakil rakyat sekali gus menggambarkan keadaan sebenar parti itu belum cukup kukuh untuk mencabar parti besar lain.

“Kita tegaskan di sini….Sampaikan kepadanya calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang bertanding di Sabah tidak akan menang bertanding di negeri Sabah pada PRU15 ini,” katanya.

Menurutnya, beliau pernah berselisih pendapat dengan bekas Perdana Menteri itu ketika Dr. Mahathir membawa masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah pada 2019.

Walau bagaimanapun, bantahan dibuat oleh Warisan tidak diendahkan dan Bersatu berjaya melebarkan sayap ke Sabah. Situasi itu membawa kepada pertelingkahan yang besar.

“Jadi, macam mana orang boleh mengatakan saya kroni (Dr. Mahathir) sedangkan saya menentang kemasukan Bersatu ke Sabah sebelum ini,” katanya.