KOTA KINABALU: Calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin, disahkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, berkata Riduan akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai calon Bebas, namun dibantu jentera parti itu.
“Tiada logo, bendera atau apa-apa simbol KDM digunakan (untuk kempen Riduan) pada PRU15 ini di Tenom,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, laman Facebook rasmi KDM berkongsi gambar-gambar Riduan yang menggunakan lambang, menyerahkan borang menyertai parti itu kepada Peter yang mendapat sokongan padu ahli parti dalam laman sosial itu.
Pencalonan Peter untuk bertanding di Parlimen Tenom pada penamaan calon 5 Nov lepas ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan kekecohan dalam kalangan penyokong KDM di pusat penamaan itu.
Tenom menyaksikan persaingan lima penjuru antara penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta dua calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.