PRU15: Kota Marudu hari ini jauh berbeza daripada era 90-an – Dr Maximus

KOTA MARUDU: Pembangunan pesat wujud di Kota Marudu meletakkan daerah ini bukan dilabel antara daerah termiskin di Malaysia.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, status miskin merujuk kepada golongan petani padi bukit terutamanya suku Sonsogon.

Katanya, lebih 60 sekolah dari peringkat tadika hingga menengah, sekolah vokasional dan kolej komuniti di bina di Kota Marudu.

“Kota Marudu tidak sesuai dipanggil sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia berikutan penduduk di sini mempunyai kuasa beli, sehingga kita dapat menarik syarikat francais besar untuk melabur di sini.

“Justeru, untuk mengatakan tidak ada pembangunan di sini, saya katakan Kota Marudu hari ini jauh berbeza daripada era 90-an.

“Semua pembangunan ini tidak datang secara kebetulan, kami merancang semuanya dengan betul dan apa yang kita capai setakat ini adalah kehendak rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maximus merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, beliau menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan nasibnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Saya menawarkan untuk berkhidmat kepada rakyat berdasarkan pengundi saya dan inilah yang terbuku di hati kami yang ikhlas sebagai wadah pembangunan kawasan ini,” katanya. 

Maximus berkata, meskipun wujud kebimbangan dengan kedudukannya yang menjadi Ahli Parlimen terlalu lama, namun beliau menegaskan umurnya baharu 69 tahun berbanding Tun Mahathir Mohamad yang kini mencecah usia 97 tahun.