PRU15: BN sasar 15 kerusi Parlimen di Sabah menerusi kerjasama BN-GRS

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di Sabah menerusi kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau yakin semangat kerjasama BN-GRS, yang dilihat menerusi perpaduan akrab jentera dua gabungan, mampu mencapai sasaran itu termasuk di Parlimen dalam zon lima Sabah merangkumi Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.

“Di Sabah, saya difahamkan (BN-GRS) minimum boleh menyumbang 15 kerusi (Parlimen) kepada (pembentukan) kerajaan Persekutuan. Pembentukan kerajaan Persekutuan adalah bergantung kepada kerusi Sabah.

“Justeru, saya mengharapkan sumbangan (kerusi Parlimen) dari Sabah terutama di kawasan zon lima,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat Libaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi BN negeri, dan calon BN bagi Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir.

BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menjalin kerjasama dengan GRS yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bagi mentadbir negeri ini.

Menerusi kerjasama itu, yang diteruskan pada PRU15, menyaksikan BN meletakkan calonnya di 12 kerusi Parlimen manakala GRS bertanding di 13 kerusi Parlimen, dalam keseluruhan 25 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Ismail Sabri berkata beliau kagum melihat keakraban jentera BN-GRS dan yakin perpaduan serta semangat kerjasama itu mampu menyumbang kemenangan termasuk di kerusi Parlimen Libaran.

Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan rakyat khususnya di Sabah supaya memilih parti yang boleh membela nasib, menjaga kebajikan dan memberi kesejahteraan demi masa depan lebih baik.

Katanya BN adalah gabungan parti yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau berkata ia berbeza dengan Pakatan Harapan yang pernah menerajui kerajaan Persekutuan selama 22 bulan selepas PRU14 lepas namun gagal menunaikan janji sebaliknya bertindak membatalkan projek pembangunan yang diluluskan BN.

Pada PRU15, Suhaimi berdepan pertandingan enam penjuru menentang Dr Peter Jr Naintin (PH-UPKO), Sh Bokrata Sh Hassan (Warisan), Noordin Khaning (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Jeffri Pudang (Pejuang) dan Amdan @ Saban Tumpang (Bebas).