PRU15: Proses pengundian awal di Lahad Datu berjalan lancar

LAHAD DATU: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan Parlimen Lahad Datu melibatkan anggota keselamatan hari ini berjalan lancar dan selamat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata, sepanjang proses pengundian awal pada hari ini (selasa) dalam keadaan tenang serta terkawal.

Katanya, Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di buka bermula jam 8.00 hingga jam 5.00 petang.

“Lima Pusat Pengundian Awal melibatkan kawasan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Balai Polis Cenderawasih, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, IPD Kunak serta Briged 13 Infantri Cenderawasih, Tungku.

“Kelihatan semua anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula kelihatan berada di kawasan Pusat Undi Awal di Dewan Sri Mawar, IPD Lahad Datu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama Rohan Shah berkata, pihaknya menganjurkan majlis Solat Hajat, bacaan surah yasin dan doa selamat perdana sempena PRU15.

“Majlis ini dijalankan serentak di seluruh negara atas saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sempena PRU15,” katanya.