Projek Kondominium Signal Hill jana 2,000 peluang pekerjaan

KOTA KINABALU: Projek pembangunan kondominium Signal Hill dijangka mampu menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek yang diusahakan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) melalui anak syarikatnya MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) kini merancakkan lagi industri pembinaan di Sabah.

Katanya, projek ini turut akan memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek serta syarikat pemasaran hartanah selain memberi peluang kepada golongan peniaga bumiputera terkesan ekoran penularan wabak COVID-19 melanda negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Cadangan Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill di sini semalam.

Mahdzir berkata, kondominium  441 unit kediaman dengan gaya hidup moden ini menitikberatkan aspek keselamatan kepada penghuninya.

“Kondominium menawarkan 14 unit lot kedai berkeluasan hampir 20,000 kaki persegi. Kondominium Signal Hill mempunyai dua menara kediaman akan didirikan di atas tujuh tingkat podium dilengkapi kemudian fasiliti kolam renang, taman permainan kanak kanak, kemudahan BBQ, Gimnasium,”katanya.