KOTA KINABALU: Pelan pemulihan dan pemuliharaan hutan di negeri ini perlu disokong semua pihak terutama pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA), pemain industri hiliran serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Perhutanan Sabah harus meneruskan dan mengukuhkan jalinan kerjasama serta penglibatan semua pihak berkaitan bagi memastikan agenda konservasi hutan dan pemulihan ke arah pengurusan lestari hutan Sabah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya pujian perlu diberikan kepada konsesi SFMLA yang juga Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang telah mengekalkan pensijilan pematuhan dalam pengurusan hutan serta semua rakan pemuliharaan atas sumbangan mereka dalam agensi konservasi negeri ini.
“Jabatan Perhutanan juga diharap memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan ekopelancongan yang dikenal pasti sebagai tonggak ekonomi utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata ekopelancongan dan perhutanan saling berkaitan dan hutan Sabah mempunyai habitat kepada kepelbagaian bio antaranya pokok Dipterocarp tertinggi di dunia, orang utan, gajah, beruang serta tembadau yang menjadi tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa.
Tetapi, saya percaya sebagai sektor ekopelancongan bertaraf antarabangsa, masih banyak yang perlu diterokai dan diperbaiki, terutama selepas pandemik ini, saya juga berharap hutan di Sabah akan terus berfungsi sebagai yang terbaik untuk inisiatif Heart of Borneo sejajar dengan aspirasi SMJ.
“Saya memuji Jabatan Perhutanan atas inisiatif dalam membuat langkah awal ke arah mencapai kelestarian hijau dengan memastikan 30 peratus atau 2.2 juta hektar hutan Sabah menjadi Kawasan Terlindung Sepenuhnya menjelang 2025,” tambahnya.
— BERNAMA