PBS gesa rakyat Malaysia sokong tinjauan untuk hentikan masalah lompat parti

KOTA KINABALU: Sebagai “mangsa” lompat parti pada tahun 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap cadangan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti akan menjadi kenyataan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, semua lapisan masyarakat memberi pandangan dan input mereka dalam tinjauan anti lompat parti yang sedang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berakhir pada 7 Disember ini.

Beliau berkata, input dan pandangan orang ramai adalah penting untuk menggambarkan sokongan mereka terhadap RUU yang dicadangkan.

“Kami memerlukan undang-undang yang efektif untuk menghalang ADUN dan Ahli Parlimen daripada bertukar parti. Oleh itu, sokongan dan input daripada semua rakyat Malaysia amat diperlukan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengumumkan bahawa satu tinjauan yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang akan dijalankan dari 23 November hingga 7 Disember.

Tinjauan itu bertujuan untuk mengumpulkan input dan maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan RUU tersebut untuk mengekang masalah lompat parti.

Wan Junaidi juga mendedahkan bahawa draf RUU telah disediakan tetapi masih dalam embargo kerana terdapat banyak perkara dasar yang masih belum terjawab.

Pada tahun 1988, PBS yang merupakan penyokong kuat anti-lompat parti telah mengambil langkah berani untuk meluluskan satu RUU bagi menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti.

Tindakan itu diambil semasa PBS memerintah Sabah, tetapi Mahkamah Tinggi telah membatalkan dan mengisytiharkan RUU tersebut sebagai tidak sah pada masa itu.

“Sebagai mangsa lompat parti pada 1994, PBS menghargai dan cadangan kerajaan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti di parlimen. Bagi kami, langkah ini menunjukkan kerajaan sangat reseptif terhadap kehendak rakyat,” kata Joniston.

PBS mengambil alih kuasa di Sabah pada tahun 1985 dan berjaya mengharungi pilihan raya mengejut pada tahun 1986 yang disebabkan oleh pembelotan dua orang ADUNnya dan seterusnya memenangi pilihan raya negeri pada tahun 1990 dan 1994.

Bagaimanapun, hampir dua bulan selepas pilihan raya 1994, kerajaan negeri PBS dibawah pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tumbang apabila tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS bertukar parti.

Joniston berkata, peranan ADUN dan Ahli Parlimen yang dipilih adalah penting dalam demokrasi berparlimen di negara ini kerana mereka adalah wakil rakyat.

“Rakyatlah yang memilih pemimpin-pemimpin ini untuk mewakili mereka dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Jika wakil rakyat tersebut dipilih atas platform parti, maka adalah adil untuk terus kekal setia kepada parti yang mereka wakili dan dipilih oleh rakyat,” ujar Joniston.