Projek Jalan Serusop–Pinturu RM465 Juta Dahului Jadual – Hajiji

TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melahirkan rasa puas hati terhadap kemajuan projek jalan raya Serusop–Pinturu sepanjang 20.8 kilometer yang kini dilaporkan mendahului jadual pembinaan.

Menurut beliau, projek di bawah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo itu dijangka mampu memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar, khususnya di daerah Tuaran dan Kota Belud.

“Saya melawat tapak projek hari ini dan berpuas hati dengan kemajuannya,” katanya ketika meninjau jajaran jalan di Kampung Penimbawan, di sini semalam.

Mwnurutny, Projek bernilai RM465 juta itu dimulakan pada 20 Januari 2025 dan dijadual siap pada 19 Julai 2028. Ia melibatkan pembinaan jalan sehala (single-carriageway) serta sebuah jambatan sepanjang 682 meter.

Hajiji turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Philemon Lajawai bersama beberapa pegawai kanan agensi terbabit.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.