Golongan muda berpendidikan perlu jadi agen perubahan – Masiung

KOTA KINABALU – Golongan muda berpendidikan diseru tampil sebagai agen perubahan, khususnya membantu masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan daripada arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, belia serta mahasiswa institusi pengajian tinggi wajar menggalas tanggungjawab sosial dengan berkongsi pandangan dan idea semasa untuk kepentingan rakyat.

“Golongan berpendidikan tinggi mampu menyumbang pandangan positif kepada pemimpin setempat selain mengupas isu berkaitan masa depan pembangunan negeri,” katanya ketika menghadiri Program Santai Kalaga bersama belia dan penuntut universiti dari daerah Tongod di Stadium Likas, di sini.

Beliau pada masa sama mengingatkan agar pelajar tidak dimanipulasi pihak tertentu bagi memenuhi agenda politik ekstrem termasuk menyertai perhimpunan haram.

Katanya, insiden di ibu negeri baru-baru ini jelas menunjukkan ada mahasiswa diperalat kumpulan berhaluan kiri untuk menyertai tunjuk perasaan tidak sah.

“Pelajar yang bersekongkol dengan pihak berkepentingan politik hanya akan merugikan diri sendiri. Masa depan mereka boleh hancur dan cita-cita musnah,” tegasnya.

Sempena program berkenaan, turut diadakan kejohanan bola sepak sumbangsih membabitkan enam pasukan termasuk dua pasukan wanita yang berlangsung dalam suasana meriah.