PRN Selangor beri pendedahan kepada jentera UMNO Sabah untuk hadapi PRN Sabah – Jeffery Nor

KOTA KINABALU: Pembabitan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor bukan sahaja membantu gerak kerja kempen calon UMNO/Barisan Nasional (BN) malah akan dapat memberi pendedahan kempen terkini kepada jentera UMNO Sabah untuk menghadapi PRN Sabah akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata pada masa sama, pada PRN Selangor nanti, UMNO juga akan bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan perkara baru dan sudah tentu banyak benda baru yang akan dihadapi di sana.

“Benda (perkara) baru ini memang bagus untuk kita menambah ilmu dalam kita hadapi dunia politik yang cukup mencabar ketika ini,” katanya kepada Sabah News Today.

BN bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di mana pada PRU ke-14 lepas, BN memenangi lima daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Jeffery yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata dua bahagian UMNO Sabah akan menjaga setiap satu DUN yang ditandingi UMNO/BN di Selangor.

Katanya dua bahagian UMNO Sabah ini akan digandingkan dengan campuran senior dan junior supaya gandingan ini memberi ilmu bagaimana untuk menghadapi pilihan raya kepada ketua-ketua bahagian UMNO yang baru di Sabah.

Beliau berkata bagi terdapat 25 bahagian UMNO di Sabah di mana UMNO Bahagian Putatan akan bergandingan dengan UMNO Bahagian Batu Sapi untuk membantu gerak kerja di DUN Dusun Tua di Parlimen Hulu Langat.

“Sebagai sekreteriat Pilihan Raya UMNO Sabah, saya ingin melihat semua DUN yang dibantu UMNO Sabah, jentera kita berjalan dengan lancar dan jentera kita hantar berada di kawasan tempat UMNO/BN bertanding supaya gerak kerja dilihat hari ke hari.

“Sebab politik ini sangat dinamik, kalau tinggalkan sehari waktu berkempen ia akan berbeza pada hari berikutnya. Jadi sudah tentu kita mahu lihat jentera kita berada di kawasan DUN yang mereka ditempatkan,” katanya sambil menambah 20 orang jentera UMNO Sabah akan diletakkan di setiap satu DUN yang UMNO/BN tandingi di Selangor.