PRN Sabah: PBS kekal bersama GRS, kekalkan kemenangan di DUN Lumadan – Joachim

BEAUFORT : Parti Bersatu Sabah (PBS), melahirkan keyakknan akan mempertahankan semula kemenangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) ini.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sehubungan itu semua ahli perlu bersatu, bekerja keras sekali gus memastikan DUN Lumadan kekal menjadi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Namun ini bukan tugas yang mudah. Kita tidak boleh terlalu leka dan tidak ambil peduli, kerana tentangan kali ini lebih hebat.

“Pembangkang akan menggunakan segala kepakaran mereka untuk memecah-belahkan penyokong kita khususnya di kawasan DUN Lumadan ini,” katanya di sini semalam.

Joachim berkata, beliau menegaskan semua kerusi dimenangi PBS akan terus mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ini.

“Kita harus memberikan pujian kepada Ketua Bahagian PBS Lumadan, Datuk Ruslan Muharam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, disifatkan sebagai seorang pemimpin setia kepada parti dan dekat di hati rakyat.

“Semua ahli PBS perlu meneruskan sokongan kepadanya serta turut membantu kemenangan calon GRS pada PRN akan datang,” jelas Joachim.

Menurutnya, GRS memerlukan kemenangan majoriti lebih besar di semua kawasan yang ditandingi sekali gus kembali memerintah selepas PRN nanti.

“Kita menegaskan PBS adalah sebahagian daripada kerajaan dan akan terus kekal bersama GRS.

“Hanya parti tempatan yang memahami cara menyelesaikan isu-isu di negeri ini. Kita bukan anti-Persekutuan,” katanya.