Tiada kelulusan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd jalankan aktiviti carigali mineral – Nizam

KOTA KINABALU : Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, memberikan kelulusan atau sokongan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd untuk menjalankan aktiviti carigali mineral di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan yang dipetik daripada laporan portal MalaysiaNow itu bukan sahaja mengelirukan malah tidak lengkap serta jelas berunsur politik untuk mencemar nama baik kepimpinan negeri.

Katanya, tiada sebarang lesen pencarigalian pernah dikeluarkan kepada syarikat Bumi Suria Sdn. Bhd.

“Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah merangkap Ketua Merinyu Galian Negeri, Datuk Bernard Liew Chau Min mengesahkan kenyataan atau promosi pihak tersebut adalah tidak berasas.

“Sebarang aktiviti carigali di Sabah hanya sah selepas mendapat lesen di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat berkata, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), sebuah agensi penasihat dalam pengurusan sumber mineral negeri, mengesahkan bahawa mereka hanya memberikan kebenaran bersyarat untuk syarikat terbabit memohon lesen carigali.

Namun, kebenaran itu telah dibatalkan secara rasmi menerusi surat bertarikh 24 Mac 2025 selepas syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“Fakta penting ini langsung tidak disebut dalam laporan MalaysiaNow, sekali gus menampakkan cubaan membentuk naratif berat sebelah yang mengelirukan rakyat,” jelas Nizam.

Menurutnya, beliau turut mengeluarkan amaran keras agar tiada mana-mana pihak mengulangi atau menyebarkan kandungan laporan MalaysiaNow yang dianggap sebagai palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.

“Malah, agensi tersebut juga sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap portal terbabit serta individu yang terbabit dalam penyebaran maklumat palsu tersebut.

“Penyiaran rakaman audio dalam laporan MalaysiaNow yang didakwa mengandungi suara Ketua Pegawai Eksekutif SMM juga menimbulkan keraguan, kerana identiti suara tersebut dikenal pasti secara salah.” katanya.

Nizam menjelaskan tindakan ini jelas satu lagi percubaan tidak bertanggungjawab untuk menanam persepsi negatif terhadap agensi kerajaan dan pemimpin negeri.

“Ia merupakan satu naratif bersifat spekulatif, sensasi dan mempunyai motif politik tersembunyi.

“Kerajaan Negeri kekal berpendirian tegas bahawa setiap permohonan berkaitan sumber asli Sabah perlu melalui proses yang telus, mengikut peruntukan undang-undang dan bebas daripada unsur salah guna kuasa.

“Tindakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi syarat, seperti dalam kes ini, adalah bukti jelas bahawa pentadbiran negeri tidak berkompromi dalam soal integriti,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Sabah untuk menilai isu ini secara rasional dan berpandukan fakta sebenar, bukan bersandarkan rakaman audio atau laporan berat sebelah yang dipenuhi unsur manipulasi.

“Tuduhan ini timbul pada waktu yang sangat mencurigakan, iaitu ketika Sabah sedang giat melaksanakan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Jelas sekali ia bertujuan untuk menggugat kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited mempertahankan integriti, menjunjung prinsip ketelusan dan menolak segala bentuk fitnah yang cuba menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.

“Fokus kita adalah untuk terus memajukan Sabah, memperkasa rakyat serta memastikan hasil bumi dimanfaatkan secara adil dan bertanggungjawab untuk kesejahteraan semua,” katanya.