Polis berhibur di balai: Hamzah minta KPN ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) diarah mengenakan tindakan tegas ke atas pegawai dan anggota polis yang didapati berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang, Selasa lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pegawai dan anggota polis yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak akan terkecuali daripada dikenakan tindakan disiplin dan kompaun.

Beliau berkata, pematuhan SOP atau peraturan lain bukan hanya terpakai pada rakyat.

“Kalau kita sudah memberikan amanah kepada (pegawai dan anggota) polis dan mereka melanggarnya, pada saya individu seperti ini tidak harus ada dalam pasukan.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Ops Patuh di Mont Kiara, dalam laporan Berita Harian hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan empat pegawai dan anggota polis yang berhibur dalam sebuah balai polis di daerah Kajang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SOP bukan hanya pada rakyat malah tindakan diambil di semua peringkat.

“Sebab itu kalau kita perhatikan hari ini, semua mereka kita kompaun dan ramai menteri-menteri juga kita kompaun,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman menahan ketua balai polis bersama tiga anggotanya yang berhibur bersama empat wanita yang juga orang awam di sebuah balai polis di daerah Kajang.

Ketua balai polis berpangkat sub inspektor bersama dua koperal dan seorang koperal sokongan ditahan selepas menjadikan sebuah bilik di balai polis itu seperti disko dengan lampu berputar turut dipasang di dalamnya.

Polis turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, kelmarin dilaporkan sebagai berkata mereka digantung tugas dan ditukarkan serta-merta ke Bahagian Pentadbiran, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sehingga siasatan ke atas mereka selesai.