PMR 2025 ke peringkat daerah bantu golongan usahawan – Hajiji

TAWAU: Usaha membawa program pembangunan kerajaan Madani seperti Program Madani Rakyat (PMR) ke peringkat daerah, memberi peluang kepada golongan usahawan tempatan mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan yang dibawa oleh kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Penglima Hajiji Noor berkata, ia secara langsung dapat mempromosi produk tempatan kepada masyarakat luar sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor pelancongan domestik.

Katanya, usaha ini sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat dalam mempromosi program pembangunan Kerajaan Madani tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Inilah bukti bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada.

Hajiji berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) akan terus memperkasa pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini.

“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800 juta.

“Selain itu mewujudkan pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corporation Malaysia, telah memberi impak positif kepada lebih 50 ribu usahawan mikro, kecil dan sederhana di Sabah,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi di bawah KUSKOP, diperluaskan.

“Kita berharap institusi seperti Bank Rakyat akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak cawangan, atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM atau Automatic Teller Machine di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk rakyat, terutama golongan usahawan tempatan,” katanya.