PMBS Lestarikan Seni Budaya Masyarakat Brunei – Mohd Arifin

MEMBAKUT : Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan terus memperkasakan usaha untuk melestarikan seni budaya masyarakat Brunei di negeri ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif tersebut termasuklah usaha memperkenalkan makanan tradisi seperti ambuyat dan kuih-muih supaya dapat diwarisi oleh generasi muda.

Arifin menyampaikan hadiah dan trofi kepada pemenang Pertandingan Tarian Zapin Brunei sempena Pesta Ambuyat Sabah 2025.

Katanya, ini sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil dalam kalangan etnik Brunei.

“Bukan saja dari sudut makanan ambuyat tetapi dari sudut kuih-muih juga kita perkenalkan supaya mereka dekat dengan nilai-nilai tradisi. 

“Ini kerana kita berpendapat bahawa makanan-makanan ini juga boleh menjadi sumber ekonomi untuk masyarakat kita,” katanya di sini hari ini.

Aksi gemalai kumpulan yang menyertai Pertandingan Tarian Zapin Brunei.

Mohd Arifin berkata, PMBS akan membuat beberapa siri pengenalan termasuk kursus untuk memperkenalkan makanan tradisi Brunei termasuk kuih-muih.

“Ada juga yang kita boleh bantu usahawan-usahawan kecil dari masyarakat kita untuk melangsungkan kehidupan dan mencari rezeki melalui keupayaan mereka membuat atau menyediakan bahan atau makanan tradisi ini,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, sebagai Presiden PMBS, beliau juga mahu masyarakat Brunei bijak menambah variasi serta inovasi dalam setiap hidangan ambuyat supaya dapat menarik minat serta selera generasi muda.

Arifin menyampaikan cenderamata kepada Faridah (empat dari kiri).

“Yang seterusnya, sudah pasti ambuyat dan hidangan-hidangan yang berteraskan masyarakat kita walaupun sebenarnya ambuyat ini adalah milik semua suku. 

“Sebahagian besar suku di etnik di Sabah ini memang sangat minat dalam menikmati ambuyat,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Brunei juga tidak terkecuali dan kita tambah variasinya dengan pelbagai menu hidangan, cecah dan sebagainya.

Faridah (kanan) melawat salah satu peserta reruai pertandingan ambuyat.

“Kita akan teruskan program ini setiap tahun dan kita akan pilih beberapa tempat untuk menyeberangkan program festival ambuyat.

“Kita menggalakkan golongan muda khususnya golongan pelajar agar menguasai persembahan tarian etnik terbabit agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya. 

Pesta tersebut disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping dekat sini, hari ini.