SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar minyak diesel ke negara jiran menggunakan bot nelayan dalam satu operasi di perairan Pulau Berhala, di sini semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, kejadian dilaporkan pada ketika jam 3.15 pagi ketika anggota PPM Sandakan menjalankan rondaan kemudian berjaya mengesan pergerakan bot nelayan dalam keadaan mencurigakan
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan lapan tangki fiber disyaki mengandungi minyak diesel dianggarkan sebanyak 7,000 liter.
“PPM menahan seorang juragan warga tempatan berusia 54 tahun dalam operasi itu selepas dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan ini.
“Keseluruhan jumlah rampasan membabitkan nilai anggaran RM367,050 yang merangkumi bot, minyak diesel dan pelbagai peralatan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nazri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengangkut barang kawalan tanpa permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 21 akta sama atas cubaan menyeleweng barang kawalan.
“PPM Wilayah 4 akan terus komited memperhebatkan operasi dan pemantauan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan kawasan ini,” jelas Nazri.
