PM umum pembubaran Parlimen 3 petang ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri akan menyampaikan perutusan khas mengenai pembubaran Parlimen, petang ini.

Perdana Menteri melalui media sosial rasmi beliau memaklumkan pengumuman itu akan diadakan di Kompleks Seri Perdana dekat Putrajaya, jam 3 petang ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.

Bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memaklumkan pihaknya belum menerima apa-apa makluman berkaitan pembubaran Parlimen.

Sehubungan itu katanya, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 akan diteruskan seperti dijadualkan esok, yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.

Persidangan Dewan Rakyat esok, adalah hari pertama bagi sesi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.

Semalam, Ismail Sabri dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, dipercayai untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.