Kanak-kanak mangsa bot karam di Kota Belud

KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam dalam kejadian di Kampung Rampaian Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Hayrul Sufyan Fian berusia setahun dilaporkan bersama sembilan individu sedang dalam perjalanan dari Pulau Mantanani menuju ke kampung berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, bot dinaiki karam dan mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Pulau Mantanani ke Kampung Rampaian Laut semasa kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu diterima menerusi talian MERS 999 pada jam 2.22 petang semalam.

“Sepasukan anggota bersama jentera dan bot, diketuai Pegawai Operasi, PBK II Derin Meridum dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sembilan orang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang  kanak-kanak ditemui oleh orang kampung dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut jurucakap tersebut, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.