KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri serta semua Bahagian UMNO di Sabah diingatkan agar fokus kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tempoh PRU-15 semakin hampir diumumkan memerlukan persiapan rapi agar semua jentera bersiap sedia menghadapi PRU15.
Katanya, Umno perlu menang dalam PRU-15 disamping bersiap sedia dalam segi logistik, strategi serta mengaktifkan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi kesiapsiagaan menunggu semboyan PRU diumumkan.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian di Sabah di sini hari ini.
Bung Moktar berkata, mesyuarat kali ini tidak ada pemilihan jawatan membabitkan Persidangan Cawangan, Perwakilan Bahagian serta Perhimpunan Agung berikutan memberi tumpuan sepenuhnya dalam menghadapi PRU-15.
“Setiap Bahagian seharusnya sudah melancarkan jentera masing-masing kerana PRU15 semakin hampir meskipun tarikhnya belum diketahui…Yang pasti semakin hampir, bukan semakin jauh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Bung Moktar berkata, zaman kemajuan teknologi maklumat ketika media sosial menjadi tumpuan utama berikutan pihak pembangkang menggunakan platform ini untuk menabur fitnah.
“Jangan asyik mempromosikan diri…Kita perlu ‘serang’ mereka kerana pembangkang lakukan banyak kesalahan tapi kita pula tidak ambil kesempatan menyerang mereka seolah-oleh mereka bersih,” katanya.