PM umum Parlimen bubar hari ini bagi beri laluan PRU15

KUALA LUMPUR: Parlimen dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra pada 3 petang hari ini, satu pengumuman yang dinanti-nantikan banyak pihak selepas desas-desus mengenainya bertiup kencang sejak akhir September.

Ismail Sabri memaklumkan beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari semalam (Ahad) bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen ke-14.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen ke-14 yang disiarkan secara langsung melalui saluran stesen televisyen tempatan dan menerusi Facebook Live Perdana Menteri.

— BERNAMA