
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Gayang, Tuaran dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk, Sandakan, Sabah bermula esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di semua lokaliti berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
Beliau berkata, KKM sudah melakukan 38 ujian saringan di Kampung Gayang, Tuaran dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak lima kes positif COVID-19 direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Gayang, Tuaran, bermula esok (10 April) hingga 23 April,
“Pelaksanaan PKPD ini bagi menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti ini serta membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, mengenai PKPD di ILP Taman Permata dan Taman Seri Labuk, Sandakan, KKM melakukan 88 ujian saringan di lokaliti itu dan secara kumulatifnya sebanyak tujuh kes positif COVID-19 direkodkan.
“KKM juga sudah melaksanakan sembilan ujian saringan di Taman Permata dan sebanyak lima kes positif direkodkan manakala lima kes positif juga dilaporkan di Taman Seri Labuk hasil daripada enam ujian saringan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di ILP Taman Permata dan Taman Seri Labuk, Sandakan, Sabah, juga bermula esok sehingga 23 April,” katanya.
SabahNewsToday