Masalah lambakan graduan di Sabah perlu penyelesaian segera: Ellron

Ellron menerima cenderahati

KOTA KINABALU: Cadangan Penyelesaian Lambakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Awam (UA) sudah diusulkan ke pengetahuan mesyuarat peringkat jemaah kabinet Menteri negeri Sabah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, isu dilihat sangat penting kerana membabitkan anak jati Sabah yang dicadangkan oleh Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) sekaligus akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

Katanya, langkah ini amat penting bagi memastikan masalah lambakan graduan ini tidak akan berlaku di masa depan sekaligus memastikan graduan akan mendapat input sebelum memilih bidang kursus di masa depan.

Ellron Angin

“Kita akan berusaha untuk membantu semua lambakan graduan disamping melihat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian nanti disamping akan memastikan masalah ini tidak berlaku lagi.

“Pihak kita perlu mendapatkan input lengkap terlibat dahulu. Perkara ini sangat penting untuk diselesaikan kerana ia membabitkan belia atau graduan khususnya mereka yang masih menuntut di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini semalam.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut iaitu wakil tiga wakil daripada GGPUA Sabah Chonnel George; Lynn Jipanis serta Liew Tsun Hiung.

Ketika mengulas mengenai kunjungan tersebut Ellron berkata, ini adalah ruang perbincangan terbaik melibatkan kedua-dua pihak disamping mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.

“Ini adalah satu langkah penyelesaian terbaik melibatkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi kedua-dua pihak saling bertukar pandangan dengan mencari medium terbaik dalam mengatasi permasalahan ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply