
KOTA KINABALU : Masalah gangguan bekalan air bersih di sekitar kawasan perumahan di Parlimen Sepanggar akan dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya mengenalpasti punca utama gangguan bekalan elektrik selama tiga jam pada 6 April lalu di Loji Rawatan Air Telibong Tampaluri Tuaran menyebabkan beberapa kawasan perumahan di Sepanggar gagal mendapat bekalan air bersih.
Katanya, setakat ini kawasan terjejas iaitu membabitkan sekitar Taman Perumahan Bandar Sierra, Taman Rimba Telipok serta beberapa kawasan perumahan Universiti Apartment (UA) di kawasan Sepanggar.
“Secara umum mengetahui gangguan bekalan elektrik sudah tentu mengakibatkan loji terbabit tidak boleh beroperasi bagi menyalurkan bekalan air bersih di beberapa kawasan perumahan.
“Faktor lain, pada 8 April lalu keadaan air sungai sangat ‘Keruh’ serta berada pada tahap begitu membimbangkan menyebabkan petugas di loji itu terpaksa menutup selama lima jam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas rungutan penduduk kampung serta Taman Perumahan yang terjejas bekalan air bersih di sekitar Sepanggar hari ini.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, keadaan bertambah buruk beberapa keadaan kawasan Utara Kota Kinabalu mengalami kekurangan bekalan air sebanyak 30 peratus berbanding permintaan yang tinggi melebihi daripada kadar pengeluaran air terutamanya di hujung minggu.
“Jabatan Air Sabah kini sudah menyalurkan bantuan air bersih menggunakan lori sementara bagi penyelesaian dalam tempoh jangka masa pendek. Kita sangat memahami masalah serta kesulitan yang dialami penduduk terlibat,” katanya.
Sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang, kerajaan akan menyegerakan pembinaan Loji Rawatan Air Telibong Dua Fasa dua yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023.
SabahNewsToday