Peter Anthony Buat Laporan Polis

PENAMPANG: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mendakwa, beliau telah dianiaya dalam kes pemalsuan dokumen yang dihadapinya sebelum ini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu telah membuat laporan polis, hari ini, berhubung penemuan baharu fakta yang mendakwa beliau dianiaya dalam kes berkenaan.

Laporan polis itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, petang tadi, menyusul selepas Peter menerima satu hantaran di media sosial, kelmarin yang mendedahkan satu laporan polis oleh saksi utama kesnya yang dibuat pada 2018.

Dalam sidang medianya selepas itu, Peter berkata laporan polis yang dibuat Mohd Shukur Mohd Din di Balai Polis Putatan pada 9 Ogos 2018 menjelaskan bahawa saksi utama itu memberi kenyataan tidak betul kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima tekanan ketika siasatan kes pada 20 Julai 2017.

Peter berkata, laporan saksi berkenaan menjelaskan bahawa kenyataan bertulisnya ditokok tambah agar beliau selaku suspek dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disiasat SPRM boleh disabitkan bersalah.

“Saya dibicarakan atas pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020 dan Mohd Shukur adalah saksi utama dalam kes berkenaan. Beliaulah yang menyabitkan saya dalam kes itu.

“Namun, pada masa itu kita tidak tahu mengenai laporan yang dibuatnya pada 2018. Hanya pada Sabtu lalu, ketika balik dari melawat kawasan, saya menerima hantaran di media sosial berkaitan laporan Mohd Shukur yang menyatakan beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara siasatan SPRM.

“Beliau juga memaklumkan bahawa SPRM menokok tambah afidavitnya untuk menyabitkan saya dalam kes itu pada 2020. Ia adalah konspirasi politik untuk menyabitkan saya memandangkan dari awal lagi saya bersumpah tidak pernah memalsukan dokumen.

“Berikutan itu saya membuat laporan polis hari ini untuk menyiasat kesahihan laporan Mohd Shukur itu dan meminta Peguam Negara serta Mahkamah Rayuan supaya memberikan saya perbicaraan semula dan menggugurkan semua sabitan terhadap saya sebelum ini,” katanya.

Pada 2020, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.

Ia berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di UMS.

Berikutan itu, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah didapati bersalah dan dihukum penjara tiga tahun serta denda RM50,000 pada Mei tahun lalu.

Hukuman dan sabitan itu turut dikekalkan Mahkamah Tinggi pada April lalu selepas Peter memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Sementara itu, Peter berkata jika laporan polis Mohd Shukur itu diketahui pihaknya sebelum ini, barisan peguamnya boleh menggunakannya sebagai hujah bagi mencabar kredibiliti saksi utama kesnya itu.

“Saya yakin jika laporan ini kita dapat tahu pada 2020, sudah tentu kredibiliti saksi utama boleh dicabar dan keputusan perbicaraan mungkin berbeza.

“Bagi saya, hari ini kebenaran mengenai penafian saya berhubung dakwaan memalsukan dokumen jelas diperlihatkan.

“Jadi saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menegakkan kebenaran dan menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya.

Sebagai langkah selanjutnya, Peter berkata, beliau akan mengarahkan peguamnya di Kuala Lumpur untuk membuat susulan berhubung kesnya itu di Mahkamah Rayuan. – Info X