Pengunjung Ke Labuan Bingung Berhubung Pembelian Minuman Keras

LABUAN: Apa yang dilihat sebagai penguatkuasaan peraturan yang ketat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyebabkan pengunjung ke pulau ini bingung berapakah jumlah minuman keras bebas cukai yang boleh dibeli untuk dibawa keluar.

Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Daniel Doughty hari ini berkata pihaknya menerima aduan bahawa pengunjung hanya dibenarkan membawa keluar satu liter minuman keras dan jika ia adalah bir, mereka hanya dibenarkan empat tin. 

Perkara itu telah menyebabkan pelancong mengeluh kerana sebelum ini mereka dibenarkan membawa keluar satu liter minuman beralkohol dan 24 tin bir, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perlu ada pengumuman jika “sebarang peraturan baharu” dikuatkuasakan.

Katanya beliau telah dimaklumkan oleh pegawai kastam bahawa peraturan itu dikuatkuasakan bulan lepas.

Seorang pegawai di pejabat Kastam Labuan mengesahkan peraturan itu dikuatkuasakan bulan lepas dan empat tin bir bersamaan dengan satu liter minuman keras.

“Sebenarnya, ia bukan ketetapan baharu. Ia telah ada dalam perintah duti kastam selama ini. Membawa keluar satu pak bir dari pulau ini adalah kelonggaran yang diberikan kepada pelancong. Hanya bulan lepas kami kuatkuasakannya (peraturan itu),” kata pegawai itu.

Daniel menggesa Perbadanan Labuan untuk menangani isu itu, dengan berkata ekonomi Labuan mengalami penurunan yang ketara sejak pandemik tercetus.