KOTA KINABALU: Perjumpaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO di sebuah restoran di Tuaran tidak mewakili keputusan UMNO Sabah.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata ia merupakan pertemuan peribadi antara ADUN-ADUN berkenaan dengan Hajiji.
“Mereka bertemu untuk berbincang tentang pentadbiran kerajaan Negeri dan keterlibatan ADUN UMNO dalam Tatakelola Kerajaan Negeri.
“Saya pasti pertemuan itu untuk mendapat gambaran dan maklumat berhubung pelbagai isu dalam urus tadbir kerajaan negeri yang memerlukan pemahaman lebih jelas kepada ADUN Sabah sesuai dengan konteks Kerajaan perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, perjumpaan tidak formal antara ADUN Sabah dari UMNO dengan Ketua Menteri Sabah di Tuaran.
Perjumpaan itu mendapat liputan media dan membawa kepada andaian dan cakap-cakap politik dikalangan pengiat politik Sabah.
Jeffery Nor yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata di pihak UMNO Sabah, tidak ada perkara yang perlu disampaikan kepada Hajiji kerana UMNO Sabah sangat arif tentang persepsi dan penerimaan Hajiji terhadap UMNO Sabah.
Jeffery berharap agar ahli akar umbi dapat membezakan antara perjumpaan politik dan perjumpaan pentadbiran yang memerlukan seorang wakil rakyat bersemuka dengan ketua kerajaan untuk kepentingan rakyat kawasan mereka.
“Kita berada dalam lingkungan budaya politik matang yang memerlukan sentiasa rasional dan bertenang menghadapi tindak tanduk berbeza dikalangan pemimpin kita.
“Apa yang saya sangat pasti UMNO Sabah berada pada tahap paling kukuh dalam kesatuan dan kebersamaan kita,” ujar jeffry.
Justeru itu, beliau berharap kenyataan ini dapat meredakan pelbagai andaian tersebut.