Kinabatangan raih naib juara Kejohanan Bola Keranjang 17 Tahun Ke Bawah Peringkat Negeri

SANDAKAN : Pasukan bola keranjang Kinabatangan muncul sebagai naib juara dalam Kejohanan Bola Keranjang Umur 17 Tahun Ke Bawah Peringkat Negeri Sabah di Stadium Bola Keranjang Tawau, pada Ahad lepas.

Pasukan Kinabatangan yang menampilkan gabungan pemain muda dari Sandakan dan Kinabatangan telah berjaya mengutip sebanyak 52 mata, bagaimanapun tewas kepada pasukan Kota Kinabalu yang mengutip 85 mata.

Kinabatangan raih naib juara Kejohanan Bola Keranjang 17 Tahun Ke Bawah Peringkat Negeri

Tempat ketiga kejohanan itu dimenangi oleh pasukan bola keranjang Tawau dan pasukan Labuan di tempat keempat.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Keranjang Sabah dan disertai oleh daerah Tawau, Wilayah Persekutuan Labuan, Sandakan, Keningau, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Kinabatangan.

Pengurus Pasukan Bola Keranjang Kinabatangan, K.T. Tan berkata, pemain pasukan itu terdiri daripada pemain berbakat dari daerah Sandakan dan Kinabatangan.

“Ini merupakan pasukan gabungan baharu yang melibatkan pemain dari kedua-dua daerah itu. Walaupun hanya meraih naib juara, ia merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan,” katanya di sini.

K.T. Tan yang berasal dari Sandakan juga menerima penghargaan daripada Presiden Persatuan Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong atas jasa dan sumbangannya menaja pasukan Kinabatangan ke kejohanan peringkat negeri.