Gagasan Rakyat dalam tafsiran politik yang tenat – Jeffery Nor

KOTA KINABALU: Melihat sesuatu yang bertentangan dengan norma politik, memperlihatkan betapa tenatnya politik songsang dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata mencuri dan membelakangkan etika sesama rakan dalam gabungan serta bersembunyi di sebalik naratif bahawa tindakan banyak parti dikalangan rakyat Sabah adalah kebiasaan menunjukkan Gagasan Rakyat merestui tindakan politik tidak bermoral.

“Politik berdiri atas prinsip yang memperjuangkan ideologi dan bukannya perjuangan parti. Tidak ada satu perjuangan murni bagi pembelaan rakyat datang dari prinsip yang bercampur baur.

“Itu adalah satu penipuan..zaman sudah berubah, rakyat Sabah juga sudah matang berpolitik..mereka berjuang untuk satu-satu parti yang jelas arah perjuangannya,” katanya sambil menambah kenyataan Masidi seperti meletakkan moral dalam berpolitik itu murah nilainya.

Jeffery mengulas kenyataan Mengulas kenyataan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bahawa pertindihan keahlian dalam parti kalangan rakyat Sabah adalah perkara biasa.

“Kita di UMNO Sabah sanggup meninggalkan kerajaan dan menarik sokongan kerana tindakan dan pandangan tidak konsisten kalangan pemimpin Gagasan Rakyat dalam Kerajaan Negeri.

“UMNO tidak mahu terkepung dalam keputusan dan pandangan Kerajaan Negeri yang sanggup menerima perkara yang tidak sepatutnya untuk kekal berkuasa.

“Keutamaan UMNO Sabah adalah untuk menegakkan hak dan kebenaran agar prinsip dapat diteruskan membela nasib rakyat Sabah,” tegas Jeffery.

Jeffery berkata rakyat hendaklah kembali kepada prinsip yang mengambarkan bangsa yang bertamadun.

“Parti yang hidup atas kerja khianat dan memijak orang lain hatta sahabat adalah sesuatu yang jijik dan memalukan.

“Rakyat Sabah mesti meletakkan kayu ukur yang jelas terhadap nilai dan paksi politik Sabah demi masa depan yang lebih baik,” tambah Jeffery.