TAWAU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyampaikan sumbangan kepada sekolah dan badan-badan keagamaan Bukan Islam di Zon Pantai Timur Tawau bagi tahun 2023.
Katanya, antara mereka yang menerima bantuan ini termasuk kawasan daerah Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.
“Seramai 83 penerima daripada 110 kelulusan, manakala daripada jumlah itu 43 melibatkan sekolah serta 67 badan keagamaan diberikan surat sumbangan pada kali ini.
“Kita sangat berharap agar sumbangan ini begitu bermakna kepada mereka serta relevan memandangkan institusi pendidikan seperti sekolah penting bagi melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan,” katanya ketika menyampaikan sumbangan di Dewan SJKC Kung Ming Tawau di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (APAS) berkata, pihaknya yakin badan keagamaan sangat memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi dalam kalangan masyarakat teridiri pelbagai kaum, suku etnik serta agama di negeri ini.
“Agihan sumbangan ini merupakan pemberian daripada kerajaan negeri Sabah, semoga dapat dimanfaatkan oleh semua penerima.
“Kerajaan negeri sangat perihatin terhadap semua masyarakat di negeri sekali gus berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung mereka,” jelas Nizam.