KOTA KINABALU: Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai matlamat membantu masyarakat kurang berkemampuan, melengkapkan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah merupakan agenda pembangunan negeri.
Katanya, ia selaras di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bertujuan memacu pembangunan menyeluruh rakyat dan negeri ini.
“Pelbagai program yang dilaksanakan oleh NGO termasuk inisiatif ‘Jom Balik Sekolah’ oleh Persatuan Sumber Harapan Sabah, telah membantu kanak-kanak kurang berkemampuan atau miskin di negeri ini amat baik. Ia melengkapi usaha kerajaan menerusi agenda SMJ.
“Malah, konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi tumpuan kepada usaha yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya di sini semalam.
Hajiji mahu lebih ramai NGO di negeri ini tampil untuk saling bekerjasama supaya dengan bersama-sama akan memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan di negeri ini.
“Persatuan Sumber Harapan Sabah telah berjaya mengagihkan bantuan pendidikan kepada sekolah di 20 daerah di negeri ini antaranya di Ranau, Kudat, Tuaran, Pitas, Kota Marudu dan Tawau.
“Justeru, saya mahu lebih banyak lagi NGO akan tampil dan saling bekerjasama supaya dapat membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan.
Hajiji turut berharap agar lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan, turut mendapat manfaat dalam setiap aktiviti amal yang dilaksanakan NGO di negeri ini.