TAWAU : Kakitangan awam perlu komited dalam menjalankan amanah dan menyokong dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kakitangan awam menjadi antara pemimpin dan rakyat akar umbi sekali gus menyebarkan agenda kerajaan di peringkat akar umbi.
Katanya, kakitangan awam perlu komited dalam memberi pemahaman kepada rakyat mengenai ‘Konsep Madani’ dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Konsep ini dilihat sangat baik kerana setiap rakyat berhak menikmati kesejahteraan serta pembangunan negara tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
“Justeru, saya juga berharap kakitangan awam di daerah ini dapat menjaga nama baik kerajaan dan komited meningkatkan kualiti kerja,” katanya di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Perdana Menteri yang ada hari ini sangat merasai denyut nadi kakitangan awam dan buktinya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini.
“Kenaikkan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam iaitu pada kadar lebih 13 peratus.
“Keprihatinan itu membuktikan Perdana Menteri bersama dengan warga perkhidmatan awam dalam menjalankan pentadbiran negara,” jelas Nizam.
Menurutnya, ia perlu dibalas oleh kakitangan awam dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menyokong setiap dasar yang dibawa oleh kerajaan.