MAIWP peruntukan RM30.6 juta untuk asnaf Labuan

LABUAN : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah memperuntukkan sebanyak RM30.6 juta untuk disalurkan kepada 5,406 ketua keluarga asnaf menerusi Skim Bantuan Kewangan Bulanan (BKB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokthar berkata, bagi empat bulan pertama tahun ini, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM10.7 juta di bawah skim tersebut.

Katanya, setakat April tahun ini pihak MAIWP telah memperuntukan sebanyak RM 2.1 juta bagi membantu 26 penerima zakat di bawah Skim pembinaan dan pembaikan perumahan.

“Fokas MAIWP bukan sahaja pada pengagihan bantuan wang tunai tetapi juga pada menyediakan bantuan menerusi pelbagai kategori perlindungan, seperti bantuan untuk pembinaan dan pembaikkan perumahan, bantuan deposit sewa dan bantuan deposit pembelian rumah.

“Ini adalah sebahagian usaha berterusan MAIWP untuk memastikan penerima Zakat mempunyai tempat tinggal,” katanya pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Madani di Perkarangan Medan Selera di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Datuk Abdul Hakim Amir Osman, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Menurut Mohd Na’im lagi, MAIWP dari masa kesemasa akan sentiasa menambahbaik perkhidmatan agihan zakat agar dapat membangunkan masyarakat yang mampan sejahtera dan berdaya cipta.

Pada majlis itu, turut disampaikan sumbangan duit raya kepada 1,200 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan ketua keluarga asnaf