LABUAN: Kampung Belukut yang dikategorikan sebagai kampung yang serba kekurangan dari aspek kemudahan infrastruktur, dipilih sebagai Kampung MADANI Angkat Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Ketua Pengarah JWP Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, Kampung Belukut dijadikan sebagai Kampung Angkat MADANI berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang meliputi tahap kemudahan asas pada kadar 50 peratus yang memerlukan penyelengaraan dan naik taraf seiring dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, selain agensi kerajaan dan sektor korporat perlu berganding bahu dalam menjayakan pembangunan di Kampung Angkat MADANI.
“Program ini bukan hanya fokas kepada infrastruktur tetapi juga yang melibatkan program program pembangunan modal insan dan juga pembangunan keupayaan penduduk itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Temu Mesra, Kampung Angkat MADANI, Kampung Belukut yang diadakan di Balai Raya Kampung berkenaan baru-baru ini.
Pada majlis itu, Noridah turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 141 isi keluarga rumah kampung Belukut.
Sebelum itu, Noridah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail yang diiringi Ketua Kampung Asmadi Asmat telah dibawa meninjau ke beberapa lokasi kemudahan awam yang perlukan penyelangaraan dan dibaik pulih.