Penjawat awam miliki kenderaan berdaftar di Labuan, Langkawi dapat pengecualian 50 peratus duti import – Kementerian Kewangan

LABUAN:  Penjawat awam  yang memiliki kenderaan berdaftar di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi bakal menikmati pengecualian 50 peratus sekiranya mereka disahkan berpindah atau tamat tugas ke luar Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Seksyen Cukai Kementerian Kewangan, Hazlan Abdul Aziz pada sesi Taklimat Pengecualian 50 Peratus Duti Import dan Duti Eksais  Ke Atas Pengimportan Kenderaan Persendirian Oleh Kakitangan Kerajaan Yang Tamat Perkhidmatan di Labuan bersama Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM), di sini, semalam.

Hazlan ketika menyampaikan taklimat kepada Ketua ketua Jabatan Kerajaan  dan pegawai kanan Kastam di dewan Dato’ Abdullah Ibu Pejabat Kastam Labuan.

Menurut Hazlan, pengecualian 50 peratus untuk kenderaan itu susulan pengumuman Kementerian Kewangan yang memberi kelulusan terus bagi pemindahan kenderaan di luar kawasan pulau bebas cukai Labuan termasuk di Pulau Langkawi berkuatkuasa pada 1 Disember 2023.

Bagaimanapu, keistimewaan itu diberi kepada kakitangan kerajaan dan tidak melibatkan kakitangan badan berkanun.

“Langkah ini bertujuan memudahkan pemindahan kakitangan kerajaan selain memastikan peralihan lebih lancar bagi mereka yang berpindah keluar dari zon bebas cukai,” katanya.

Sementara itu, katanya, proses permohonan untuk pengecualian itu boleh dihantar terus ke JKDM dengan mengemukakan dokumen yang diperlukan termasuk mengemukakan surat pengesahan pertukaran dan pengesahan penerimaan tugas di tempat baharu (luar Labuan).

Hadir sama,  Pengarah JKDM Labuan Aspalila Awang Tuah dan Pegawai  Bahagian Perkastaman Ahmad Yuslizan Mohammad dari Ibu Pejabat JKDM.