KOTA KINABALU: Industri haiwan peliharaan merupakan penyumbang ekonomi yang ketara, menyokong perniagaan tempatan dan merangsang ekonomi, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Katanya Kajian menunjukkan trend yang semakin meningkat dalam pemilikan haiwan peliharaan, dengan anggaran hampir dua pertiga pemilik haiwan peliharaan di Malaysia membelanjakan lebih daripada RM200 setiap bulan untuk haiwan peliharaan mereka.

Menurutnya peningkatan dalam permintaan untuk pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan haiwan kesayangan menekankan daya tahan dan potensi untuk pertumbuhan dalam industri haiwan peliharaan.
“Saya melihat peluang unik untuk Sabah dalam pasaran yang sedang berkembang ini. Kekayaan sumber alam semulajadi dalam bidang pertanian dan perikanan memampukan kita membangun makanan haiwan peliharaan yang berkhasiat dan bermutu tinggi,
“Dengan memanfaatkan sektor ini, kita boleh mengurangkan kos makanan haiwan peliharaan, dan menjadikan pemilikan haiwan peliharaan lebih berpatutan di Sabah,” katanya ketika merasmikan Pet Kingdom Expo 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Jeffery berkata sekiranya Sabah menjadi hab pengeluar makanan haiwan peliharaan terkemuka, ia bukan hanya meningkatkan kepimpinan pasaran tetapi juga menjamin rakyat Sabah mempunyai akses kepada makanan bernutrisi dan lebih ekonomi (murah).
“Memandangkan perniagaan berkaitan dengan haiwan peliharaan berkembang pesat di Sabah, mengapa tidak meneroka bahagian perniagaan ini. Ia akan menjadi menarik untuk meneroka perkongsian dan strategi untuk mencapai matlamat ini,” kata Jeffery.