KSN lakukan lawatan kerja sehari ke Labuan

LABUAN: Ketua Setiausaha Negara,  Tan Sri  Mohd Zuki Ali melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Bebas Cukai Labuan, semalam.

Pada lawatan itu, beliau meninjau pelaksanaan projek-projek Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Penggantian Paip Pumping di Terminal Paip Pulau Enoe dan Stesen Janakuasa Elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Patau Patau.

Ketika ditemui media, Mohd Zuki berkata Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang giat untuk menangani isu berpanjangan gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berlaku di pulau ini.

Beliau berkata, Jabatan Air dan Stesen Janakuasa SESB Patau-Patau berusaha untuk meneroka penyelesaian terbaik melibatkan beberapa agensi kerjaan yang berkaitan di peringkat persekutuan, Sabah dan juga Labuan.

“Perdana Menteri amat komited untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh rakyat Labuan terutamanya mengenai isu berpanjangan bekalan air dimana Perdana Menteri mengumumkan bajet tambahan lebih RM300 juta dalam Belanjawan Malaysia Madani 2024 untuk menyelesaikan isu bekalan air,” katanya.

Sebelum itu, beliau telah diberikan taklimat mengenai status terkini dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Air Labuan dan juga SESB dalam menangani masalah tersebut.

Jelas beliau faktor utama yang menyumbang kepada gangguan bekalan air  adalah kewujudan paip yang sedia ada telah berusia lebih 30 tahun.

Mohd Zuki menegaskan adalah penting bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam usaha mencari penyelesaian berkekalan kepada cabaran bekalan air dan elektrik yang dihadapi Labuan.

Beliau turut menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim akan datang ke Labuan dalam waktu terdekat ini bagi melihat sendiri masalah yang sering dibangkitkan oleh rakyat Labuan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dr. Ching Too A/L Kim,  Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Indera Noridah Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.