PITAS: Penilaian kerosakan rumah bagi tujuan memberikan bantuan kepada mangsa banjir akan dilakukan secara terperinci untuk memastikan keutamaan diberikan kepada rumah yang terjejas teruk.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pejabat daerah dalam melaksanakan penelitian terhadap rumah yang rosak akibat dilanda bencana tersebut.
“Selepas penelitian kerosakan secara terperinci dilakukan, kementerian akan mengeluarkan peruntukan untuk membaiki rumah berkenaan.
“Namun peruntukan kita terhad, dan kita perlu cermat dengan memberikan keutamaan kepada rumah yang terjejas teruk,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Zahid merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata berkata, kementeriannya juga sedang menilai kerosakan jalan-jalan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
“Sehubungan itu saya meminta kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Pejabat Daerah dan kerajaan negeri agar usaha ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya” katanya.
Mengulas mengenai lawatan beliau ke Pitas, Ahmad Zahid ia bertujuan meninjau beberapa kawasan di Sabah yang terjejas teruk akibat bencana banjir.
“Walaupun keadaan semakin pulih atau ramai mangsa yang sudah kembali ke rumah masing-masing.
Namun kini, kita berada dalam pascabanjir dimana kita akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan dan pembaikan terhadap rumah-rumah yang terjejas,” tambahnya.