KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Pengerusi Negara Shell Malaysia yang baharu dilantik, Siti Hurairah Sulaiman di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.
Kunjungan ini bagi memberi maklumat terkini perniagaan mengenai Shell Malaysia dan operasinya di Sabah.
Siti Hurairah merupakan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, memegang jawatan tersebut pada 1 Januari 2023, menjadikannya wanita pertama menerajui syarikat minyak multinasional itu di Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Ltd yang bertanggungjawab terhadap operasi huluan minyak dan gas Shell di Sabah selama empat tahun mulai 2011.