My STEM Ambassador UMS dan UPM anjur Program Jejak STEM D’Bawah Bayu

KOTA KINABALU: My Stem Ambassador Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kelab My STEM Ambassador Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Jejak STEM D’Bawah Bayu selama 10 hari di pelbagai daerah di Wilayah Sabah.

Program yang bermula sejak 13 Februari itu antara lain diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Bundu Tuhan Ranau, Sekolah Kebangsaan Pekan Ranau, Kampung Rapak Ranau, Poring Ranau, Desa Cattle Dairy Farm Kundasang, Taman Negara Kinabalu, Muzium Sabah, Pulau Manukan, Mari-Mari Cultural Village Inanam, dan di Kampus Induk UMS.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Dr. Murnizam Halik pada majlis Syoknya STEM di SMK Bandaraya, di sini.

Dalam ucapannya, Dr. Murnizam berkata, program itu bertujuanmemupuk minat kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terhadap ilmu pengetahuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Pada masa yang sama, program ini juga memberi bimbingan, tunjuk ajar dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah meminati bidang sains dan mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Dalam program Jejak STEM D’Bawah Bayu, para peserta turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di beberapa kampung sekitar Sabah di samping menghasilkan modul STEM berasaskan alam sekitar untuk pembelajaran kanak-kanak,” katanya.

Untuk rekod, program yang berakhir pada 22 Februari 2023 itu dilaksanakan melalui geran yang diterima daripada UM STEM Centre di bawah Program My Ambassador Industrial Grant.