Akademi Bola Sepak SAFA dilancarkan 11 Mac ini

KOTA KINABALU: Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan dilancarkan di padang persatuan itu pada 11 Mac ini.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, akademi tersebut yang membabitkan pemain bawah 12, 14 dan 16 sepatutnya dilakukan pelancarannya sebelum ini namun terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, bagaimanapun pelancarannya akan diteruskan dan SAFA memutuskan untuk melakukan pada awal bulan depan.
“Semua persiapan berkaitan majlis pelancaran akademi tersebut sedang disiapkan dan kita sedang memuktamadkannya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA menyatakan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di pejabat persatuan di sini, hari ini.
Azman berkata, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmy Yahya akan menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.
Menurut beliau, perancangan untuk menubuhkan akademi berkenaan sudah lama dirancang SAFA sebagai satu usaha bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.
“Kita percaya dengan penubuhan akademi tersebut akan dapat membimbing pemain-pemain remaja untuk menimba lebih banyak pendedahan dan pengalaman di samping untuk mempersiapkan diri mereka menjadi pemain yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Azman juga memberitahu bahawa mesyuarat itu turut membincangkan lawatan sambil belajar rombongan ahli jawatankuasa berkenaan ke Asian Supply Base Sdn. Bhd di Wilayah Persektuan Labuan pada 24-26 Februari ini.
Lawatan tiga hari itu dijangka menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antara peserta rombongan dengan pasukan ASB Sdn Bhd.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan ASB Sdn Bhd kerana sudi menerima rombongan SAFA ke pulau berkenaan.